15.12.11

Kaya 3:0 Edukasyen




Belajar betul-betul, nanti bila dah berjaya boleh dapat kerja bagus” – Secara sedar atau tidak sedar, ayat ini lah selalu keluar dari mulut mak bapak kita.

Sebab apa kita belajar? Supaya esok lusa bila sudah berjaya, mudah dapat kerja yang bagus-bagus. Nanti dapat hidup senang. Sebelum ini, aku pun fikir macam itu. Ikut urutan kehidupan turun-temurun. Salah satunya, belajar rajin-rajin lepas itu kerja bagus, kahwin and then bersara.

Tetapi itu perkara sebelum ini. Sebelum aku baca sebuah buku yang agak buruk dan tidak best pada mulanya, tetapi akhirnya berjaya membuka akal fikiran dan pandangan aku. Buku yang ajaib, yang memberitahu cara hendak buat duit. Ya, cara nak buat duit. How to make money dalam omputehnya. Siapa yang kata buku ini beritahu cara nak cepat kaya, korang salah. Bukan. Siapa yang kata buku ini tentang jualan langsung, pun bukan.

Pendek cerita, pendidikan yang kita kejar di sekolah selama ini belum tentu dapat menjamin kehidupan yang senang kelak. Memang dengan pendidikan kita boleh mendapat kerja yang gajinya besar tetapi tidak ramai yang terfikir sebenarnya orang yang bagi kita kerja gaji besar itu lagi besar gajinya. Dan secara sedar atau tidak, kita kerja untuk duit sedangkan bagi mereka, duit kerja untuk mereka. 

Dekat sini aku tak kata pun kita tak payah nak kerja dengan mereka. Jauh sekali aku nak kata kita perlu kerja sendiri tetapi hanya sekadar membuka minda sedikit. Kita manusia memang cepat angkuh dan sombong. Baru ada ilmu sedikit dah berlagak, konon tahu semua benda padahal ke laut sebenarnya.

Kita boleh lihat sekarang, kenapa orang itu berpendidikan tinggi, kerja gaji besar dan boleh dikatakan kaya tetapi masih pening kepala sebab tidak cukup duit. Even gaji lima angka pun masih pening kepala dan sakit gonad. Benda-benda  macam ini yang buku ini fokuskan. Sebenarnya, lagi kaya seseorang itu lagi banyak yang dia habiskan duit. Sebab apa? Selain sifat cepat angkuh dan sombong, manusia mempunyai sifat tamak dan takut. Sifat yang ada pada golongan yang kaya atau miskin. Golongan kaya takut duit mereka habis manakala golongan miskin takut kalau mereka tiada duit.

Kenapa semua ini boleh berlaku?

Hal ini disebabkan kita bodoh dalam kewangan dan tiada pengetahuan langsung pasal duit. Ha ini lah dia, satu-satunya subjek yang tidak diajarkan di sekolah atau di universiti. Kita sibuk mengejar ilmu tentang sesuatu bidang yang kita minati terutamanya bidang profesional tetapi kita lupa ilmu tentang duit. Ilmu tentang kewangan, 'financial literacy' yang sepatutnya kita ada untuk hidup dengan kaya dan senang kelak.

Apa yang aku tertarik, untuk menjadi kaya kita perlu tahu perbezaan antara aset dan liabiliti. Perkara yang kalau korang tanya aku, memang menganga lah jawabnya. Mengikut mazhab buku ini, aset ialah harta yang berpanjangan mendatangkan duit manakala liabiliti ialah sebaliknya. Ramai yang fikir, kalau kaya kena ada kereta mewah, rumah besar yang dikatakan aset tetapi padahal mereka salah sebenarnya. Itu adalah liabiliti kerana duit berpanjangan dihabiskan untuk kereta mewah dan rumah besar tersebut. Oleh itu, kita kena faham tentang perbezaan aset dan liabiliti ini kalau hendak kaya.

Banyak lagi yang aku nak sembang pasal perkara ini tetapi cukup lah setakat ini. Ada masa gua sambung lagi okay?

Bersambung di lain entri dan masa....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan